Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang
Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk
berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari
separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran
dengan "Tartil". (4)
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri
masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya
Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi
perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia
menyempurnakannya). (5)
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya
(kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (6)
(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu
malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang
panjang kira bicaranya; (7)
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu
(terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya
dengan sebulat-bulat tumpuan. (8)
Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan
melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. (9)
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka
(yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
(10)
Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang
mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah
tempoh kepada mereka sedikit masa; (11)
Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka)
belenggu-belenggu dan Neraka yang menjulang-julang, (12) Serta makanan yang
menjadikan pemakannya tercekik dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (13)
(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang
bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir
yang mudah bersepah. (14)
Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat
Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang
mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun
seorang Rasul. (15)
Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami
menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya. (16)
(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana
kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari
azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? (17)
Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan
sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap
dilakukanNya. (18)
Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran)
ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah
dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat). (19)
Sesungguhnya Tuhanmu yakni Allah (wahai Muhammad) mengetahui
bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajud) selama kurang dari dua pertiga
malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga
dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak
menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan
tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali
akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik
perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu
bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam
sembahyang). Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang
yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari
rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang
pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang mudah kamu
dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat
dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) dan
(ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri
kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan
yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya dan mintalah ampun kepada
Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. / (20)
Surah Al-Muzzammil 73: Ayat 1 Hingga 20
No comments:
Post a Comment