Tuesday, February 3, 2009

Mesti Baca:Bantah secara sederhana – Raja Zarith????

Bengong...She got it almost all wrong!!!!

Utusan Malaysia 3 Februari 2009 m/s:11

SERANGAN dan tindakan ganas rejim Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza telah menimbulkan bantahan di seluruh dunia.

Di Malaysia, bantahan tidak terkecuali sebagai memberi gambaran bahawa serangan itu sememangnya ‘tidak direstu’ rakyat negara ini. Justeru, ramai pihak mengadakan demonstrasi meminta supaya kekejaman itu dihentikan segera.

Namun, adakah beberapa saranan termasuk memboikot barangan keluaran Israel dan sekutunya Amerika Syarikat akan memberi kesan langsung dan sesuai dilakukan?

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Masyarakat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah ada pandangan tersendiri.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, LUQMAN HAZIQ dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI dengan isteri Tunku Mahkota Johor ini di The Zone, Johor Bahru mengenai konflik Israel-Palestin yang mula menarik perhatian beliau sejak tahun 70-an lagi.

UTUSAN: Bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza masih berterusan. Bagaimana Tunku melihat perkembangan ini?

RAJA ZARITH: Seluruh dunia sedang protes dan kita kena tahu apa yang kita nak protes dan kenapa kita protes. Macam di Barat, apa yang berlaku di Gaza, bagi mereka adalah krisis kemanusiaan. Sama seperti di Sudan dan negara lain di Afrika.Maknanya, jangan tumpu hanya kepada Gaza. Kita juga perlu tumpu kepada negara lain termasuk rakyat Malaysia sendiri yang perlukan bantuan.Satu lagi, jangan terlalu emosional. Jangan tuduh semua orang Yahudi jahat. Kita juga banyak contoh orang Islam jadi ‘pengganas’.Israel juga macam kita di Malaysia. Bukannya terdiri daripada satu kaum dan beragama Islam sahaja. Di Palestin ada orang Arab Islam, orang Yahudi dan Kristian. Begitu juga di Israel.Jangan kita hanya nak tolong satu kaum yang menderita sahaja. Kita kena tolong tanpa kira bangsa dan agama. Di Israel, ramai juga yang bantah seperti yang disiarkan oleh Al-Jazeera. Rakyat Israel juga menentang, tidak suka dengan apa yang berlaku. Maknanya, perkara ini sangat kompleks.Tetapi bantahan yang ditunjukkan seakan-akan difokuskan kepada isu agama. Pandangan Tunku?

Memang. Bantahan orang kita macam fokus kepada agama dan fokus kepada apa yang berlaku di luar negara. Sedangkan negara kita masih perlukan bantuan.Memang betul rakyat Gaza perlu bantuan. Keganasan rejim Zionis itu tidak boleh diterima. Kita jangan terlalu menyokong, tengok dan baca surat khabar serta buat kajian. Mana kawasan untuk orang Arab, Yahudi dan Kristian.

Saya ada baca sebuah buku A History of Palestine oleh Profesor Gudran Kramer. Beliau pensyarah di Universiti Haifa di Israel dan beragama Yahudi.Tapi tulisan dia tak berat sebelah. Dia bertanya kepada pelajar Yahudi dan Palestin di dalam kelasnya. Mereka mempunyai pendapat berlainan mengenai apa yang berlaku di Palestin.Mungkin buku ini boleh dibaca untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan di sana.

Tunku sendiri mungkin ada pengalaman mengikuti persidangan mengenai konflik antara Israel-Palestin ini?

Saya pernah tulis artikel tentang pengakuan seorang rabai. Dia tinggal di Palestin. Dia kata, dia tak pernah berbual-bual dengan orang Arab walaupun jiran-jirannya semua orang Arab.Satu hari itu, dia naik teksi. Dalam perjalanan, dia minta pemandu teksi berhenti sebab dia hendak sembahyang.

Dia bersihkan diri sebelum sembahyang dan pada masa sama, pemandu yang beragama Islam itu berwuduk. Apabila sembahyang, dia menghala ke Baitulmaqdis manakala pemandu itu ke arah Mekah. Sejak itu dia sedar, sebenarnya tak ada banyak beza antara dia dan pemandu itu.

Dia rasa bersalah kerana tidak pernah berminat untuk memahami orang Arab sebelum ini. Kita kena faham, mereka melalui terlampau banyak keganasan. Di Palestin pun banyak pengganas, macam Hamas yang bersikap seperti militan.

Kita kena faham, dari kecil sehingga besar, jika kanak-kanak dengar ibu bapa dia kata orang Israel jahat, ganas, bila besar dia akan terus berfikiran begitu. Begitu juga dengan orang Israel.Kaum muda Palestin dan kaum muda Israel dibesarkan dengan perasaan benci. Memang betul kerana mereka melihat keganasan itu tidak pernah habis.Bila Israel kata nak berdamai, ada pula pengebom berani mati di Israel. Mangsa ialah orang awam yang tak bersalah, jadi mereka marah.

Jadi apa yang boleh dilakukan?

Misalnya, satu persembahan orkestra di Albert Hall London dianggotai remaja Palestin dan Israel. Ini satu cara untuk berdamai, melalui muzik orkestra.Dalam orkestra, kalau tiada kerjasama, persembahan akan sumbang. Ini satu cara untuk satukan mereka.

Tetapi bila perkara baik itu dilakukan, media tak dedahkan. Bila benda tak elok, mereka dedahkan. Kenapa kita tak tonjolkan perkara sebegini. Memang betul peranan media itu mustahak. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang dilaporkan. Kita perlu media untuk dapatkan maklumat.

Baru-baru ini saya tengok Al-Jazeera, mereka temu bual tiga orang. Seorang bekas Ahli Parlimen Israel, seorang Ahli Parlimen di Palestin dan seorang Profesor di Israel. Bekas Ahli Parlimen Israel itu beritahu, ramai rakyat Israel mengadakan protes ke atas serangan Gaza.

Tetapi media Barat tidak siarkan protes itu. Dia kata lebih 10,000 orang terlibat. Sepanduk yang mereka bawa tertulis Arab-Israel in Peace.Begitu juga Ahli Parlimen Arab dan profesor itu, mereka juga membantah tindakan Zionis. Macam di Parlimen kita.Ada dari UMNO, Pas, DAP dan sebagainya. Siapa yang kuat dan dapat undi terbanyak, mereka menang. Perkara yang sama berlaku di Parlimen Israel.

Pada pandangan Tunku apa iktibar yang boleh kita ambil?

Anak muda sekarang, ramai yang bertindak secara ekstrem. Contohnya, kita orang Melayu, kita sudah berpecah mengikut politik. Kita hanya nampak buruk orang lain. Kita pun tak bersatu.Di Palestin pun sama, mereka tak bersatu kerana politik kepartian. Israel pun sama, mereka ada beberapa parti politik. Saya minta orang muda buat kajian sebelum membantah keterlaluan.

Sekarang senang kerana kita ada Internet. Misalnya nak tahu apa makna Zionis, taip sahaja. Jangan kita gunakan perkataan Zionis, tapi kita tak tahu apa makna dan sejarahnya.Internet adalah satu perpustakaan besar. Ada yang kata Internet tak bagus, pasal seksual.Tetapi kita kena bijak cari yang baik. Jangan terus kata Internet tak bagus. Bagi saya, dengan Internet, informasi memang di hujung jari.

Jadi, bantahan kita harus kena pada tempatnya?

Kita tak boleh keterlaluan dan mengikut emosi. Saya risau, banyak protes sekarang. Saya risau, perasaan benci keterlaluan terhadap bangsa Yahudi. Sebenarnya, rejim Zionis yang serang Gaza, bukan rakyatnya.

Pandangan Tunku tentang saranan supaya boikot barangan Israel, Amerika?

Kalau kita nak boikot Yahudi, kita tak bolehlah hendak guna Microsoft sebab Bill Gates, Yahudi. Banyak barang perubatan seperti mesin dialisis dicipta oleh orang Yahudi. Kalau kita nak kata orang Yahudi semua jahat, maka jangan guna mesin dialisis.Apa yang saya nak kata, orang Yahudi yang cipta dan hasilkan semua ini, bermakna mereka hendak memberi sumbangan kepada dunia.Dia nak tolong orang sakit. Ini sumbangan besar kepada dunia perubatan. Rejim Zionis yang ganas. Rejim itu yang buat keputusan ganas, bukan rakyatnya.

Apa peranan pemimpin dalam hal ini?

Kalau boleh kita seimbang. Apa yang berlaku adalah politik. Kita bukan orang politik. Yang punya kuasa adalah ahli politik, pemimpin kita, bukan kita. Kita rakyat biasa dan tidak boleh buat keputusan. Contohnya, kerajaan Malaysia buat keputusan naik harga minyak.Bukan semua rakyat bersetuju. Itu keputusan kerajaan. Yang saya nak tekankan supaya kita jangan terlalu ekstrem, jangan bias. Pemimpin kita kena jelaskan perkara sebenar mengenai isu ini.Untuk kita beragama Islam, kita mahu orang yang bukan Islam memahami Islam. Sekarang keganasan dikaitkan dengan Islam.Rasulullah berjuang sebab ada orang ancam agama.Jadi Rasulullah berjuang untuk mempertahankan agama suci kita. Kita kena buktikan Islam bukan agresif dan ganas.Macam Rasulullah, orang kutuk dan benci, tetapi baginda tidak lawan balik. Islam adalah agama yang galakkan keamanan.

Ada pandangan mengatakan orang ramai khususnya golongan muda yang terlibat dengan bantahan sebenarnya tidak tahu isu sebenar dan hanya terikut-ikut. Pandangan Tunku?

Macam dalam surat khabar, pelajar yang ambil bahagian, adakah mereka faham atau tidak apa yang mereka lakukan? Saya melihat, mereka terlalu terikut-ikut. Jangan terikut-ikut tapi kena faham apa yang dilakukan.Sekarang ini, kita umat Islam memang terasa dengan apa yang berlaku kepada saudara kita di Gaza. Dulu pun di Sudan, mereka pun orang Islam, tapi kenapa kita tak buat protes dan hantar bantuan ke Darfur? Saya rasa di Darfur, apa yang berlaku orang Arab yang tak terima orang Afrika dan nak bunuh semua sekali.

Seperkara lagi iaitu mengenai pengebom berani mati. Kalau bunuh orang yang tidak bersalah, itu bunuh diri sendiri, bukannya mati syahid. Itu tindakan yang melampau. Memanglah kalau semua ahli keluarga atau kawan-kawan kita dibunuh, pasti kita berdendam.Di sini (Malaysia) jangan pula kita terikut-ikut. Macam kejadian di Bali, bukannya tentera yang jadi mangsa, tetapi pelancong yang mati.Kalau mangsa itu bekerja sebagai tentera pun, mereka bukan bersenjata. Tindakan itu berdosa kerana mangsa tidak bersenjata dan tidak berdosa.

Konsep Hazar(kerahsiaan) dan Kepentingannya

PENGERTIAN HAZAR

Hazar pada bahasa memberi makna menjaga, mengumpul, dan menghimpun, tersembunyi, tersimpan dan hati-hati.

Kesemua pengertian hazar pada bahasa ini membentuk pengetiannya dari segi istilah, iaitu suatu sikap berhatihati dengan menjaga dan menyimpan maklumat-maklumat serta himpunan rahsia dari segi perkara yang menakutkan dan dari orang-orang yang benci kepadanya. Sikap ini disebut dalam bahasa sebagai waspada.

Perkataan hazaran, (pecahan-pecahannya) disebut sebanyak 21 kali di dalam 12 surah di dalam al-qur’an. 4 surah daripadanya adalah Makkiyah sementara 8 lagi adalah Madaniyyah. Kesemuanya ini memerlukan kepada satu pemerhatian yang lain.

SALAH ANGGAP TERHADAP WASPADA / HAZAR

Dari maksud pengertian di atas, dapat disimpulkan bahawa waspada itu sebenarnya bersumberkan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu. Dalam erti kata lain ialah sesuatu sikap yang akan diambil ekoran dari tuntutan waspada adalah didasarkan kepada satu kajian mengenai sebab dan akibat juga kesan terhadap akibat yang menimpa. Ini bukan berlaku secara membabi buta.

Sikap waspada juga adalah bertunggakkan perancangan jamaah yang berusaha mengurangi akibat yang menimpa jamaah dan diri individu dalam jamaah.

Waspada bukanlah yang mendorong orang kian takut untuk menjalankan kerja-kerja Islam. Waspada bukan membuatkan orang berputus asa dan menyerah kepada takdir. Sebaliknya waspadalah yang menjadikan seseorang semakin cekal untuk ‘amal Islami’, sebab dia tahu jatuh bangun kerjanya melalui pengalaman yang panjang dan perancangan yang teliti. Namun demikian perlu diingatkan kepada anggota gerakan bahawa kewaspadaan haruslah kena pada tempatnya.

Akibat dari mengambil sikap yang terlalu berhati-hati akan menyebabkan seseorang menjadi takut bayang-bayang sendiri. Inilah yang perlu dielakkan kerana ini bukanlah sifat terpuji, bahkan ia adalah sifat yang keji. Ramai penggerak-penggerak harakah Islamiyyah yang tertipu dengan ungkapan berhati-hati dan berwaspada yang menyebabkan akhirnya mereka tidak boleh bergerak, keluar dari kepompong kehinaan, kejahilan dan kelemahan. Bahkan akibat terlalu takut ramai dikalangan penggerak Islami ini yang lari dari medan pertempuran dan jihad yang menjadi kewajipan mereka. Lihatlah betapa ramai yang beralasan untuk tidak berjuang dalam gerakan Islam kerana takut dipecat, diambil tindakan, terikat dengan akujanji dan seumpamanya, yang semuanya bermain dengan alasan.

Oleh itu, hazar dengan maksud di atas adalah merupakan sifat yang terpuji, sifat orang beriman dan berakal yang mengetahui sebab akibat. Orang-orang jahil, mereka tidak mengetahui hazar, mereka menjadi berani tidak bertempat, takut tidak berwaktu. Orang-orang jahil dan orang kafir tidak mengamalkan hazar kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran sepertimana yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam.

Orang-orang jahil yang saban harinya diulit dengan kesenangan, kekenyangan, dan kemudahan tidak ada apa yang ditakuti, kegiatan mereka juga tidak ditakuti dan dicemburui kerana mereka tidak pernah membawa panji-panji dakwah Islamiyyah. Tetapi lihatlah apa yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam, sejak zaman Nabi a.s., Nabi saw sendiri sehinggalah kepada zaman mutakhir para pejuang Islam akan sentiasa diburu, dibunuh, dipenjarakan, diseksa, ditekan dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Inilah yang mendewasakan pejuang Islam dan dengan amalan hazar ini akan menjadikan gerakan Islam sentiasa bernafas dan bergerak setiap zaman.

PERINTAH MENJAGA HAZAR.

Perintah menjaga hazar dapat digali dalam sirah baginda saw, iaitu yang masyhur adalah ketika baginda berhijrah ke madinah bersama-sama sahabat setianya Abu Bakar r.a. para ulama’ berpendapat bahawa tindakan Nabi saw berhijrah bersama-sama dengan Abu Bakar r.a. dalam keadaan hazar (berwaspada) dalam suasana malam dan sunyi, yang mana tempat tidurnya diganti oleh Saidini Ali r.a. adalah tindakan yang septutnya diambil oleh manusia biasa yang lainnya.

Inilah sunnah yang perlu diikuti oleh setiap penggerak harakah Islamiyah iaitu mengambil langkah berhati-hati mengelakkan dari ditangkap oleh musuh-musuh. Nabi saw mengamalkan hijrah dalam keadaan rahsia walaupun baginda sentiasa dipelihara oleh Allah menunjukkan bahawa taktik dan strategi sirr dan hazar adalah sunnah yang patut diamalkan, berbeda dengan tindakan Saidina Umar r.a. yang berhijrah dalam keadaan mengisytiharkan dirinya dalam keadaan pedang terhunus, bukan juga menunjukkan tindakannya adalah keterlaluan ataupun jahil, tetapi sebagai petanda bahawa Umar memiliki keistimewaan tersendiri.

Selain itu dalam Al-Qur’an Allah swt berfirman:
“Jika engkau Muhammad berada di antara mereka yang Islam, lalu ingin mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri solat besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat), maka hendaklah datang golongan kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu dan hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus, dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu menanggung sakit, dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang hina bagi orang-orang kafir.” (An-Nisa’ : 102)

ayat di atas dengan tegas menunjukkan wajib berhazar dengan diterangkan kaedah dan cara-cara berwaspada, diperintahkan memegang senjata dalam solat, diperintahkan agar kaum muslimin yang lain berdiri di belakang orang-orang yang sedang sembahyang agar memelihara mereka dari serangan musuh. Kaum muslimin dibahagikan kepada dua kelompok, satu kelompok mengerjakan sembahyang dan satu lagi kelompok menjaga mereka.

Diterangkan juga orang-orang kafir ingin melalaikan kaum muslimin dan berusaha menghancurkan mereka sekaligus. Semua ini membuktikan wajib hazar dari sesuatu yang tidak disenangi.

Firman Allah swt :

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman berwaspadalah kamu dan majulah (ke medan pertempuran) bersama-sama” (An-Nisa’ : 81)

Perintah ini ditujukan kepada kaum muslimin agar berjihad terhadap orang-orang kafir, berperang pada jalan Allah dan berusaha mempertahankan agama dan diperintahkan kepada orang yang berkemampuan untuk menyebarkan dakwah. Mereka juga diperintahkan supaya tidak menyerang musuh membuta-tuli, tetapi harus terlebih dahulu mengetahui apa yang dimiliki oleh musuh dan mengetahui bagaimana cara menolak serbuan mereka. Itulah kaedah pertahanan yang baik.

HAZAR DAN KEPENTINGANNYA DALAM PERJUANGAN ISLAM

Bentuk-bentuk hazar dalam perjuangan dapat dibahagikan kepada dua bentuk:
1. Hazar terhadap musuh luaran
2. Hazar terhadap musuh dalaman

Hazar terhadap musuh luaran ialah waspada terhadap orang-orang kafir dan munafik yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam. Kerosakan yang menimpa kaum muslimin akibat perbuatan orang-orang munafik mengikut sejarah Islam amat besar. Kadang-kadang menghadapi mereka adalah lebih sukar kerana orang-orang kafir jelas nyata permusuhannya terhadap Islam, sedangkan orang-orang munafik menyembunyikan permusuhan mereka, jangan sama sekali mempercayai kata-kata manis mereka bahkan harus berusaha menutup pintu di hadapan mereka serta berusaha menghancurkannya. Allah swt berfirman tentang sifat orang-orang munafik dan harus waspada menghadapi mereka.

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum, dan jika mereka berkata-kata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu tersandar. Mereka mengira bahawa setiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya). Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dipalingkan dari kebenaran” (al-Munafikun : ayat 4)

HAZAR TERHADAP MUSUH DALAMAN

1. Waspada dari kemaksiatan
2. Waspada dari mengikut hawa nafsu
3. Waspada dari keluarga dan anak-anak.

1. Waspada dari kemaksiatan

Firman Allah swt;

“Dan Allah mewaspadakan kamu terhadap diriNya” (Ali Imran : 2 8)

Mewaspadakan di dalam ayat tersebut ialah mempertakutkan dengan siksaanNya apabila kamu mengerjakan kemaksiatan lantaran kemaksiatan itu menyebabkan kemurkaan Allah dan membatalkan pertolonganNya.oleh itu, pendakwah harus merasa takut dan waspada dengan turunnya azab Allah, terhentinya bantuanNya dan terbatal setiap bentuk pertolonganNya.

Da’ie perlu sentiasa berpegang teguh kepada Allah, menyerah dan bertawakkal kepadaNya serta menjauhi diri dari kemurkaanNya. Ingatan daie harus terus menerus kepada Allah tanpa ada rasa riya’, suka dipuji dan ujub.

2. Waspada dari mengikut hawa nafsu

Pendakwah tidak sewajarnya mengikut dorongan nafsu yang menyeretnya meninggalkan kebenaran atas alasan ramainya pengikut, meluasnya dakwah dan sebagainya.

Firman Allah swt:
“ Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah kamu terhdapa mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian peraturan yang Allah turunkan kepadamu” (Al-Maidah: ayat 49)

3. Waspada dari keluarga dan anak-anak
Cinta kepada keluarga dan anak-anak kadangkala menjadi fitnah dan penghalang kepada daie untuk berjihad dan berdakwah atas alasan berada di tengah-tengah keluarga adalah tenang dan tenteram.

Justeru, setiap tipudaya keluarga harus disingkirkan lantaran tuntutan jamaah adalah lebih aula dan hak.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuhmu. Maka hendaklah kamu hazar dari mereka” (At Taghabun : 14)

PENUTUP
Semoga perbincangan ringkas ini memberikan kesedaran kepada kita akan peri pentingnya hazar dalam gerak kerja dakwah. Kesilapan yang lalu tidak perlu diulangi dan segala pengalaman perlu dipelajari. Kita perlu menyedari bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengepung dan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menghancurkan Islam dari segenap penjuru.

Kerahsiaan..

andai kau merasakan beratnya menyimpan rahsia, ketahuilah masih byk rahsia Tuhanmu yg kau tak tahu.. maka lapangkanlah dadamu.. He knows best..