Thursday, October 29, 2009

Tajuk; Indahnya Iman...

Rasanya itula tajuknya..Semalam,diriku ini telah menonton oasis pada jam 6 petang tatkala membaca kes-kes harta sepencarian yang ada di dalam jurnal hukum.. rancangan yang selalu jemput ustaz dari indon tu..selayang pandang rancangan tu membosankan..hehehe..tapi,semalam isinya agak menepati keadaan emosi diriku ini..
Ustaz ni cakap tentang bagaimana kita ni sebagai manusia sepatutnya menggunakan anugerah mulut ni dengan cara yang paling baik.Ialahkan, kebanyakan dari kita semua seolah-olah tidak menggunakan bahasa dengan baik,isi percakapan pun selalunya ada sahaja yang pada hakikatnya tidak diperlukan.Ini isi yang ustaz tu sebut secara ringkas.
Isi yang harus kita keluarkan biarlah (BMT)
1. Benar
2. Manfaat
3. Tidak menyakitkan hati orang lain
Cara kita menyampaikan isi percakapan pula(TESOFALES)
1. Tenang
2. Sopan
3. Fasih
4. Lembut
5. Secukupnya
Apa yang cuba disampaikan ialah,sebagai manusia kita seharusnya menjaga segala yang ada pada kita samada hubungan dengan Allah,hubungan dengan manusia,dan juga hubungan dengan alam. Sebagai manusia kita tak pernah lari dari kesilapan dalam berkata-kata dan kadang- kadang kita turut terlepas marah atau dendam dengan manusia lain. Maka, firman Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”(Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

“Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah!) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”(Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

- Membocorkan rahsia:
Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang dilarang, kerana perbuatan itu akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengendahkan tentang kepentingan orang itu.
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang maksudnya :

“Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu dia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).” (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Oleh itu, membocorkan rahsia orang dikira tidak amanah. Ini adalah suatu pengkhianatan, dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, jika ianya boleh mendatangkan bahaya atau mudarat kepada orang itu. Kalau pun tidak mendatangkan bahaya atau mudarat, maka itu samalah seperti kita menghinanya.

- Mengumpat:
Mengumpat adalah di antara seburuk-buruk kejahatan. Yang dimaksudkan dengan mengumpat ialah menyebut seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya, sama ada pada badannya, agamanya, dunianya, bentuk kejadiannya, perangainya, hartanya, anaknya, orang tuanya, suami/isterinya, pembantu rumahtangganya, serbannya, pakaiannya, gaya berjalannya, gerakannya dan sebagainya yang bersangkut paut dengan dirinya. Tidak kira sama ada menyebut-nyebut itu dengan percakapan, tulisan ataupun dengan isyarat melalui mata, tangan, kepala atau sebagainya.

Hukum mengumpat itu adalah haram menurut ijma‘ seluruh umat Islam. Dalilnya adalah jelas tersebut di dalam Al-Qur’an, Sunnah dan ijma‘. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi amat Mengasihani.”(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

Allah Subhanahu wa Ta'ala mengumpamakan orang yang mengumpat saudaranya sendiri seperti memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai. Setiap manusia sudah tentu tidak mahu makan daging manusia. Apatah lagi daging saudaranya sendiri, dan daging itu pula sudah menjadi bangkai. Ini menunjukkan betapa buruk dan kejinya perbuatan mengumpat itu di sisi Allah Ta‘ala.

- Mengadu domba (menyebarkan fitnah hasutan):
Mengadu domba atau di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai an-namimah ialah memindahkan ucapan dari seorang ke seorang dengan maksud untuk merosakkannya.
Menurut Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta ‘ala, pada kebiasaannya an-namimah adalah diistilahkan bagi perbuatan orang yang menceritakan percakapan orang lain kepada orang yang diceritakan mengenainya, umpamanya dia berkata: “Si anu mengatakan tentang kamu begitu begini”. Sebenarnya an-namimah itu tidak terhad kepada yang demikian itu, bahkan ianya lebih umum, iaitu mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan, sama ada ianya tidak disukai oleh orang yang diceritakan mengenainya, ataupun tidak disukai oleh orang yang diceritakan kepadanya, ataupun tidak disukai oleh orang ketiga. Tidak kira sama ada cara mendedahkan itu dengan percakapan, tulisan, isyarat, gerak-geri atau seumpamanya, dan sama ada yang didedahkan itu berupa percakapan ataupun perbuatan, dan sama ada ia sememangnya suatu keaiban ataupun bukan.
Jelasnya, hakikat an-namimah (mengadu domba) itu ialah, membocorkan rahsia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan mendedahkan rahsia yang dia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Hukumnya adalah haram. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil yang bersumber daripada Al-Qur’an, Sunnah dan ijma‘. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).”(Surah Al-Qalam, ayat 11)

Diriwayatkan daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.” (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:
“Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam (suatu hari) melintasi dua buah kubur, lalu bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mereka sedang diseksa, kedua-dua mereka tidak diseksa kerana dosa besar (menurut anggapan mereka).” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Bahkan (itu adalah dosa besar), adapun salah seorang daripada mereka ialah orang yang suka ke sana ke mari mengadu domba dan yang seorang lagi ialah orang yang tidak bersuci daripada air kencingnya.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apakah yang perlu dilakukan jika seseorang disampaikan kepadanya cerita yang berbau fitnah hasutan?

Al-Imam Al-Ghazali menegaskan, setiap orang yang diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar fitnah hasutan, umpamanya diceritakan kepadanya: “Si anu mengatakan kamu begini begini”, maka hendaklah dia mengambil enam tindakan di bawah ini:

1) Tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana pengadu domba itu adalah orang fasiq, dan orang fasiq itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.
2) Melarang perbuatannya itu serta memberinya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

3) Membencinya kerana Allah, sebab Allah Ta‘ala amat membenci pengadu domba, dan membenci kerana Allah ketika itu adalah suatu kewajipan.

4) Jangan sekali-kali berperasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, kerana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

5) Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, sebab Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

6) Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar Abdul bin Aziz Radhiallahu ‘anhu, dia menceritakan sesuatu tentang seorang lelaki lain, lalu Umar Abdul Aziz berkata:

“Jika kamu mahu diperiksa, kami akan memeriksa ceritamu itu. Jika ternyata kamu berdusta, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 6)

Jika kamu benar dalam menyampaikan cerita ini, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).”(Surah Al-Qalam, ayat 11)

Jika kamu mahu minta maaf, kami sedia memaafkan kamu.”

Lelaki itu pun berkata:

“Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak akan mengulangi perbuatanku ini selama-lamanya.”